Wahai hati, janganlah terlalu keras dikau. Wahai hati,
lembutlah dikau. Namun keraskanlah dirimu menghadapi segala dugaan ini.
Memang agak kurang tenang dalam hati ini. Bercelaru. Macam air pasang. Bila pasang rasa bagai mahu
pecah dada ku. Bila surut, dapatlah aku berpijak di bumi nyata.
Mana silapnya? Silap pada diri aku sendiri. Aku tidak tuding
pada orang lain. Setiap keputusan aku yang tentukan. Jadinya buat apa mahu ku
tuding jari pada sesiapa? Walaupun kadang keputusan yang dibuat bukan kehendak
diri sendiri semata mahu memberi kepuasan pada yang lain. Aku lah itu. Betul,
kadang aku terlalu lembut hati untuk mengalah untuk mereka semua.
Aku dalam kerinduan sebenarnya. Rindu pada Mak di kampung.
Tapi entah kenapa tiada kemahuan mahu bertanya khabar. Terukkan aku? Apa jenis
anak aku ini mahu memanjangkan emosi tidak keruan ini. Entahlah. Rindu tapi
seakan ada tembok batu dalam hati ini. Tergamakkan aku? Nanti biar aku rasa
bila Mak sudah tiada barulah aku tahu bagaimana tiada jalan hubung lain waima
satu pun. Biar aku rasa? Jangan kau menyesal!
Menjadi seorang anak dan kakak sepatutnya hala tuju dan
gerak langkahnya seiring. Mesra seiya sekata. Tapi kadang meladeni yang satu
ini bisa buat jantung aku gugur. Bukan sekali dua berantakan. Hingga aku
sanggup hayun kaki keluar dari rumah di kala umat Islam mahu meraikan Raya
Qurban. Bukan hingusan lagi aku tika itu. Tapi jiwa aku begitu remuk. Bila
kebenaran yang amat sukar aku nyatakan pada Mak, hanya kerana menjaga aib
seorang adik.
Mana silapnya aku kurang pasti. Mungkin terlebih dilayan.
Terlampau diberi muka. Aku tak salahkan Mak. Puas dah berlembut, meninggi
suara, tapi tiada kesan. Kalau ada pun mungkin sekejap cuma. Hinggalah teragedi
terjadi baru ada kurangnya. Namun, yang lain pula dipersalahkan. Tidak ambil
berat. Tidak prihatin.
Aku mahu bagaimana lagi? Kalau aku tidak sayang makanya aku
tidak akan bersuara walau sepicing. Lantaklah kau nak buat apa pun. Tapi bila
aku bersuara lantang dikatanya aku tidak sayang. Mahu lari. Jadi orang tua itu
harus menelan rasa marah, takut2 kalau dia lari.
Kau mahu lari ke mana? Sedangkan bersusah payah sedikit di
rantau orang mencari orang tua itu? Ke mana kau mahu pergi? Sebenarnya kau yang
prejudis terhadap kami. Berprasangka. Jangan jadikan kesilapan sendiri sebagai
modal untuk salahkan orang lain. Sepatutnya ia menjadi pedoman kekhilafan diri
sendiri. Bukan sebab orang lain kau jadi begitu. Kau jadi begitu sebab kau
sendiri yang pilih.
Ya, aku punya anak sekarang. Dan aku pernah muda. Pernah
lalui zaman remaja. Pernah juga terkucil. Tapi seingat aku, setiap kekurangan
dan kesusahan itu aku jadikan supaya tidak berulang semula. Jadikan pengajaran.
Tapi kenapa tidak dia?
Dan, tidak perlu ingatkan bahawa anak aku suatu hari nanti
akan besar. Itu hakikat yang aku sedar. Dan aku akui, memang aku takut hendak
besarkan dia dalam keadaan duniawi sekarang. Tidak dapat aku bayangkan nanti
peredaran zaman yang berubah semakin mendadak. Semoga aku tabah melaluinya.
Semoga jalan yang aku pilih untuk membesarkannya tidak merosakkannya. Dan, kau:
aku minta satu sahaja, berdoalah.
No comments:
Post a Comment